Kencing manis juga dikenali sebagai diabetes mellitus. Ia adalah satu penyakit yang menyebabkan kadar gula atau glukosa dalam badan menjadi terlalu tinggi atau digelar ‘hyperglycaemia’ di mana ia berbahaya kepada badan. Jadi penting untuk kita tahu bagaimana cara turunkan gula dalam badan supaya tidak mengalami hal yang lebih mudarat. Namun, diabetes mellitus tidak ada kena mengena dengan sejenis penyakit lain yang digelar diabetes insipidus walaupun namanya hampir serupa.
Penyakit kencing manis atau diabetes boleh dibahagikan kepada 3 kategori, bergantung kepada penyebab atau patofisiolgi diabetes melitus. Antaranya adalah:
A) Penyakit Diabetes Jenis 1:
Penyakit ini hanya merangkumi 7% daripada keseluruhan insiden ke semua jenis kencing manis. Penyakit ini disebabkan oleh tindakan autoimun di mana badan tidak boleh menghasilkan insulin yang cukup atau tiada langsung insulin kerana sel-sel pankreas yang rosak.
Penyakit ini biasanya dikesan pada kanak-kanak di mana mereka akan menunjukkan simptom-simptom seperti terlampau haus, kerap kencing dan lebih teruk lagi mereka juga mungkin mengalami satu situasi yang berbahaya yang dikenali sebagai diabetic ketoacidosis.
Akibat ketiadaan insulin, badan akan memecahkan protein dan lemak untuk mendapatkan gula atau glukosa. Produk yang terhasil daripada proses ini dikenali sebagai ketone, dimana ia akan menyebabkan keadaan badan menjadi sangat berasid. Ia boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera. Antara simptom-simptom diabetic ketoacidosis ialah
- Tidak sedarkan diri
- Sakit perut
- Bernafas terlalu cepat
- Nafas berbau manis seperti buah
- Kulit yang pucat
Penghidap penyakit diabetes jenis 1 akan memerlukan insulin dari luar badan sepanjang hayat mereka. Mereka juga lebih berisiko untuk mendapat penyakit autoimun yang lain.
B) Penyakit Diabetes Jenis 2:
Penyakit ini merupakan jenis kencing manis yang dialami oleh majoriti masyarakat iaitu sebanyak 90-95% daripada jumlah kes-kes kencing manis. Kebiasaannya pesakit tergolong daripada golongan dewasa atau warga emas tua serta kebanyakan pesakit adalah pesakit yang obes.
Antara faktor-faktor penyumbang kepada penyakit ini ialah kegemukan atau obesiti yang berpunca daripada gaya hidup tidak sihat dan diet yang tidak seimbang.
C) Penyakit Diabetes Ketika Mengandung.
Penyakit jarang berlaku ini boleh dialami oleh wanita mengandung. Ia biasanya akan hilang selepas bersalin. Namun wanita ini akan lebih terdedah untuk mendapatkan kencing manis jenis 2 di masa hadapan.
9 Cara turunkan gula dalam darah iaitu:
1.Melakukan senaman
Kredit : bharian
Melakukan senaman dengan lebih kerap dapat membantu menurunkan berat badan dan meningkatkan kepekatan insulin.
Dengan senaman juga, ia dapat membantu otot menggunakan gula dalam darah dengan betul. Antara bentuk senaman yang boleh dilakukan seperti angkat berat, berjalan, berlari, berbasikal, menari, mendaki, berenang dan lain-lain.
2. Kawal pengambilan karbohidrat
Tubuh anda memecahkan karbohidrat menjadi gula (kebanyakannya glukosa), dan kemudian insulin akan memindahkan gula ke dalam sel. Apabila anda mengambil terlalu banyak karbohidrat atau mempunyai masalah dengan fungsi insulin, proses ini akan gagal dan kadar glukosa darah meningkat.
Persatuan Diabetes Amerika (ADA) mengesyorkan untuk mengawal pengambilan karbo dengan mengira karbohidrat atau menggunakan sistem pertukaran makanan. Beberapa kajian mendapati bahawa kaedah ini juga dapat membantu anda merancang makanan dengan tepat, yang dapat mengawal paras gula darah.
3.Meningkatkan pengambilan serat
Serat melambatkan pencernaan karbohidrat dan penyerapan gula. Atas sebab itu, ia mengurangkan kenaikan paras gula dalam darah. Makanan yang mengandungi serat yang
tinggi seperti sayur-sayuran, buah-buahan, kekacang dan bijirin. Pengambilan serat harian yang disyorkan sebanyak 25 gram untuk wanita dan 38 gram bagi lelaki.
4.Bacaan gula dalam darah berkurangan jika minum banyak air
Minum air secukupnya dapat membantu menjaga paras gula darah anda dalam had yang sihat. Selain mencegah dehidrasi, ia juga membantu buah pinggang anda untuk membuang lebih banyak gula dalam darah melalui air kencing.
Satu kajian pemerhatian menunjukkan bahawa mereka yang minum lebih banyak air mempunyai risiko yang lebih rendah untuk memiliki kadar gula darah yang tinggi.
5.Kawal saiz hidangan anda untuk turunkan bacaan gula dalam darah
Pengawalan saiz hidangan boleh membantu mengatur pengambilan kalori dan boleh menyebabkan penurunan berat badan. Mengawal saiz hidangan anda juga boleh membantu mengurangkan pengambilan kalori dan peningkatan gula darah secara mendadak.
Oleh itu, mengawal berat badan anda akan menyebabkan kadar gula darah yang sihat dan terbukti dapat mengurangkan risiko menghidap diabetes jenis 2.
6. Pilih makanan yang kurang Glycemic Index
Glycemic index ini bertujuan menilai tindak balas gula dalam badan terhadap makanan yang mengandungi karbohidrat. Makanan yang mengandungi glycemix index yang rendah dapat mengurangkan tahap gula dalam darah mengikut jangka masa panjang.
Contohnya: makanan laut, daging, telur,gandum, barli, kacang, ubi, jagung, buah-buahan dan sayur-sayuran.
7.Kawal stres dan dapatkan tidur yang mencukupi
Kredit : sinar harian
Tekanan boleh menjejaskan paras gula. Yoga dan meditasi dapat mengurangkan stres dan membetulkan masalah rembesan insulin terhadap pesakit kencing manis kronik. Selain itu, mendapatkan tidur yang cukup juga penting bagi memastikan kesihatan tetap terkawal dengan sempurna. Jadi, adalah lebih baik untuk mendapatkan jumlah tidur yang berkualiti setiap malam.
8.Perhatikan paras gula darah anda sebagai cara turunkan gula dalam darah
Kredit : ubatpensil
Mengukur dan memantau tahap glukosa darah juga dapat membantu anda mengawalnya. Contohnya, dengan menjejaki paras gula darah boleh membantu menentukan sama ada anda perlu membuat penyesuaian dalam makanan atau ubat-ubatan.Ia juga akan membantu anda mengetahui bagaimana reaksi badan terhadap makanan tertentu.
9. Ambil makanan yang kaya dengan kromium dan magnesium
Tahap gula darah yang tinggi serta penyakit diabetes juga dikaitkan dengan kekurangan mikronutrien. Contohnya kekurangan mineral kromium dan magnesium.Kromium terlibat dalam metabolisme karbohidrat dan lemak.Ia juga membantu mengawal kadar gula dalam darah, dan kekurangan kromium boleh menyebabkan anda tidak toleran terhadap karbohidrat.
Dua kajian melibatkan pesakit diabetes menunjukkan bahawa kromium mempunyai manfaat untuk kawalan gula darah jangka panjang.Walau bagaimanapun, terdapat juga kajian lain yang menunjukkan hasil kajian yang sebaliknya.Makanan yang kaya kandungan kromium termasuklah kuning telur, produk bijirin penuh, kopi, kekacang, kacang hijau, brokoli dan daging.
Magnesium juga terbukti bermanfaat untuk kadar gula dalam darah, dan kekurangan magnesium dikaitkan dengan risiko diabetes yang lebih tinggi.Dalam satu kajian, individu dengan pengambilan magnesium tertinggi mempunyai risiko 47% lebih rendah untuk menghidap diabetes.Makanan yang kaya dengan magnesium termasuklah sayuran berdaun gelap, biji-bijian, ikan, coklat gelap, pisang, avokado dan kekacang.
Jika pengambilan gula tidak dikawal, ianya akan mendatangkan bukan sahaja kencing manis malah lebih banyak penyakit yang akan menyukarkan hidup kita kelak.
Sekiranya anda atau ahli keluarga mengalami masalah diabetes atau kencing manis dan ingin mencari alternatif yang lain yang mana anda boleh mencuba stevia,anda boleh klik di sini.
Kredit:
1- DoctorOnCall
2- Hellodoktor