Morning sickness atau nama saintifiknya emesis gravidarum adalah rasa mual yang muncul pada wanita hamil terutama di waktu pagi. Ianya biasa terjadi pada trimester pertama kehamilan atau muncul sebagai tanda anda sedang mengandung. Sebahagian wanita merasakan mual ini sehingga trimester kedua, bahkan ada juga yang mengalami masalah ini selama kehamilannya. Dalam artikel ini akan dikongsikan 5 penyebab utama berlakunya morning sickness dalam kalangan wanita hamil.
Menurut kajian daripada American Pregnancy Association, lebih 50% wanita hamil mengalami mual dan muntah di pagi hari. Namun, perkara ini merupakan perkara yang tidak perlu dirisaukan kerana ianya normal dan sama sekali tidak akan membawa kesan buruk kepada bayi anda.
1. Perubahan Hormon dalam Badan
Apabila seseorang hamil, sel otak akan memberi tindak-balas yang lebih sensitif terhadap sebarang perubahan hormon yang berlaku dalam badan. Perubahan yang ketara melibatkan 3 hormon utama iaitu hormon Human chorionic gonadotropin (hCG), estrogen dan progestron. Pada awal kehamilan, hormon hCG meningkat dengan cepat dan ketika inilah juga ibu-ibu mengalami alahan yang ketara. Terutama sekali dalam kalangan ibu hamil kembar, mereka lebih cenderung mengalami alahan teruk akibat hormon hCG yang tinggi.
Untuk hormon estrogen pula, peningkatan hormon ini mungkin mencecah 100 kali anda ketika hamil. Namun, apabila dibandingkan antara ibu hamil yang mengalami alahan dan tidak alahan, tiada bukti sahih yang menunjukkan perbezaan antara paras hormon estrogen. Jadi, peningkatan hormon ini mungkin memberi kesan yang berbeza mengikut individu. Paras progesteron yang tinggi mengurangkan regangan otot-otot rahim, menjadikannya lebih ‘relaks’ lantas mengelakkan dari berlakunya kelahiran awal. Walaubagaimanapun, ia juga mungkin membuatkan otot-otot perut dan usus menjadi terlalu ‘relaks’ sehingga mengakibatkan masalah refluks asid perut kepada sesetengah ibu hamil.
2. Stress
Menurut pakar, stress atau tekanan perasaan bukan sahaja menyebabkan sesetengah ibu hamil terdedah kepada alahan atau morning sickness, tetapi juga mengakibatkan keletihan, rasa tidak tenteram, tak selera makan atau terlalu berselera makan, pening kepala dan tidur yang terganggu.
Memang diketahui umum bahawa stress memberi kesan negatif terhadap masalah usus, jadi tidak hairanlah jika simptom morning sickness lebih teruk ketika ibu hamil tertekan.
3. Sensitif terhadap bau-bauan
Sensitif terhadap bau-bauan kebiasaannya mungkin dialami oleh sesetengah ibu hamil. Hidung akan sentiasa mengesan bau-bauan yang kuat sehingga menyebabkan loya, muntah, pening dan sebagainya. Kadang kala, bau yang biasanya sedap sebaliknya akan dikatakan busuk. Bau makanan seperti nasi, bawang, kari, juga wangian seperti perfume malah bau badan suami mungkin saja boleh membuatkan anda loya.
4. Kehamilan pertama
Ibu-ibu yang hamil buat kali pertama dikatakan lebih teruk mengalami morning sickness menurut pakar. Ini kerana ianya dipengaruhi oleh faktor fizikal dan emosi selari dengan kajian yang telah dilakukan oleh pakar. Dari segi fizikal, sebenarnya badan seseorang ibu yang hamil buat pertama kali mungkin masih belum bersedia menghadapi pelbagai perubahan melibatkan hormon, bentuk badan dan sebagainya. Dari sudut emosi pula, kebanyakan ibu-ibu muda ini lebih mudah terganggu emosinya dengan rasa bimbang, takut, terlalu berjaga-jaga sehingga menyebabkan tekanan dan mengganggu sistem gastrousus.
5. Genetik
Sekiranya ibu anda mengalami morning sickness ketika mengandungkan anda dan adik-beradik lain, kebarangkalian anda untuk mengalami morning sickness juga tinggi. Bagi ibu-ibu yang sudah ada pengalaman hamil, mereka mungkin tidak terlalu memikirkan morning sickness yang dialami kerana fokus sudah teralih kepada anak-anak yang lebih memerlukan perhatian. Namun, perkara ini tidak semestinya benar, ada sahaja ibu yang hamil buat kesekian kalinya masih juga mengalami morning sickness yang teruk. Setiap kehamilan sangat unik dan berlainan pengalamannya.
Perlu anda fahami 5 penyebab yang saya senaraikan di atas tidak semestinya berlaku kepada semua ibu hamil kerana para penyelidik dan saintis masih tidak dapat mencari punca sebenar morning sickness. 5 faktor di atas merupakan rumusan berdasarkan pengalaman, kajian dan pemerhatian pakar terhadap ibu-ibu hamil.
Ingin mencuba produk Refreshing Aromatherapht Essential Oil Blend untuk mengatasi masalah morning sickness, klik disini.
Kredit:
1. Danita
2. Daura
3. Hello Sehat