Tahukah anda, ada di antara kita yang mengalami sakit kepala sehingga menjejaskan tahap kesihatan seperti muntah teruk dan tidak dapat mengimbangi badan? Mengikut kajian, setiap individu akan mengalami sakit kepala sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup, tidak kiralah sama ada biasa atau teruk. Ramai yang menganggapnya sebagai sakit biasa kerana serangannya dalam tempoh yang singkat sahaja. Ada juga beranggapan sakit kepala terjadi di kalangan mereka yang mempunyai masalah migraine. Tidak mengira usia dan jantina, sakit kepala boleh terjadi kepada sesiapa sahaja pada bila-bila masa sehingga boleh menjejaskan aktiviti seharian. Terdapat 5 jenis sakit kepala yang mungkin anda semua tidak tahu.
Meskipun kebanyakan penyebabnya tidak membahayakan nyawa namun rasa sakit berpanjangan itu boleh menyebabkan rasa tidak selesa selain mengganggu aktiviti seharian. Sebenarnya terdapat pelbagai sebab dan 5 jenis kepada sakit kepala berpanjangan seperti perubahan hormon atau masalah kesihatan lain yang serius sama ada sedar atau pun sebaliknya. Antara jenis sakit kepala yang anda perlu ketahui ialah
- Migrain
Migrain bukan sekadar sakit kepala biasa, ianya lebih daripada itu ia adalah koleksi simptom saraf yang boleh melemahkan. Semasa serangan migrain, seseorang itu akan mengalami sakit berdenyut-denyut yang sederhana hingga yang amat sangat pada sebelah bahagian kepala, namun satu pertiga serangan melibatkan keseluruhan bahagian kepala. Semasa serangan tersebut, ada juga yang mengalami gangguan penglihatan, loya, muntah-muntah, pening, kepekaan melampau terhadap bunyi, sentuhan, dan rasa, dan juga rasa sesemut atau kebas yang melampau pada bahagian muka. Migrain biasanya berlangsung selama 4 hingga 72 jam. Sebelum mendapat serangan migrain, terdapat isyarat seperti kemunculan cahaya yang pelik, bau busuk, atau pemikiran bercelaru.
Migrain selalunya berlaku dalam kalangan mereka yang mempunyai sejarah keluarga, dan tiga kali lebih kerap dalam kalangan wanita daripada lelaki, namun ia boleh dikawal dengan ubat-ubatan tertentu dan perubahan gaya hidup.
- Sakit kepala tekanan
Sakit kepala yang berpunca daripada tekanan merupakan sakit kepala yang paling biasa. Sakit kepala tekanan melibatkan kesakitan yang sederhana hingga yang amat sangat yang merangkumi keseluruhan bahagian kepala sebagai kesakitan yang menyeluruh atau ketegangan pada bahagian dagu atau leher. Sesetengah orang mengalami kesakitan seperti kepala dihimpit atau ditekan dengan begitu kuat. Kesakitan mungkin akan meningkat secara perlahan dan akhirnya menjadi sangat teruk. Sakit kepala tekanan ini dikatakan berpunca daripada pelbagai sebab termasuklah otot yang tegang pada bahagian bahu, leher, kulit kepala dan dagu, dan juga sering berpunca daripada tekanan, kemurungan dan keresahan. Sakit kepala tekanan boleh menjadi kronik kepada segelintir orang dan mungkin dialami selama 15 hari atau lebih dalam sebulan, dan berterusan sekurang-kurangnya sehingga tiga bulan. Agak sukar untuk membezakan antara sakit kepala tekanan dan migrain, namun mereka yang mempunyai sakit kepala tekanan tidak mengalami loya, muntah-muntah, atau kepekaan kepada cahaya, bunyi atau bau, yang biasanya dialami pesakit migrain.
- Sakit kepala sinus
Walaupun ianya bukan sesuatu yang biasa, sakit kepala sinus menyebabkan kesakitan yang lemah dan berdenyut di seluruh bahagian muka dan di bahagian hadapan kepala di mana sinus itu berada. Simptom-simptom biasa termasuklah hidung tersumbat, hidung berair, tekanan ke atas muka dan dahi. Kesakitan selalunya meningkat pada waktu pagi dan menjadi lebih teruk dengan pergerakan kepala dan apabila menunduk atau baring. Orang selalu keliru dengan sakit kepala sinus, migrain atau tekanan. Sakit kepala sinus yang sebenar selalunya terjadi disebabkan oleh jangkitan bakteria atau virus sinus, yang mengeluarkan hingus yang pekat, hilang deria bau, kesakitan atau tekanan pada muka serta demam. Sakit kepala ini akan hilang apabila jangkitan sinus sembuh atau jangkitan bakteria dirawat sewajarnya.
- Sakit kepala kluster
Sakit kepala kluster merupakan sakit kepala yang berulang-ulang, maksudnya, sakit kepala berlaku dalam serangan berkumpulan atau kluster, biasanya pada sebelah bahagian kepala. Ia menyebabkan kesakitan yang berasa seperti ledakan kepanasan pada sebelah bahagian kepala dan mungkin mempunyai simptom seperti mata merah dan hidung tersumbat pada belah yang sama dengan sakit kepala tersebut. Tidak seperti migrain, sakit kepala kluster ini selalunya terjadi berulang pada waktu yang sama setiap hari atau setiap musim. Ia juga boleh jadi kesakitan yang amat sangat tanpa dijangka, tanpa sebarang tanda dan berlangsung pada satu jangkamasa selama seminggu sehingga setahun, (kerana itulah namanya kluster) dan kemudian hilang pada satu jangkamasa yang tertentu. Sepanjang serangan sakit kepala kluster, pesakit sering kelihatan tidak menentu disebabkan kesakitan yang teruk. Sakit kepala kluster sering berlaku dalam kalangan kaum lelaki berbanding perempuan, perokok, dan mempunyai sejarah keluarga yang mengalami sakit tersebut. Selain itu, alkohol merupakan punca sakit kepala yang teruk semasa “jangkamasa kluster.”
- Sakit kepala berpunca dari ubat-ubatan
Seperti namanya, jenis sakit kepala ini berpunca daripada terlalu banyak pengambilan ubat-ubatan dan juga dikenali sebagai sakit kepala berulang. Sakit kepala kronik setiap hari boleh disebabkan oleh ubat-ubat tahan sakit dan ubat-ubat preskripsi. Lewah guna ubat-ubatan dijelaskan sebagai mengambil ubat sakit kepala dengan kerap sekurang-kurangnya 10 hari dalam sebulan selama tiga bulan atau lebih lama dan mungkin bergantung kepada ubat-ubat tertentu. Meskipun ubat-ubatan ini diambil, sakit kepala mula dirasai atau menjadi semakin teruk. Orang yang mengalami sakit kepala jenis ini selalunya masuk dalam kitaran kejam di mana pengambilan ubat sama yang sepatutnya merawat sakit kepala sebaliknya memburukkan lagi keadaan sakit kepala disebabkan lebihan pengambilan ubat tersebut. Sakit kepala lewah guna ubat-ubatan biasanya hilang atau kembali kepada keadaan asal dalam masa beberapa bulan setelah pengambilan ubat-ubatan itu dihentikan.
Sakit kepala juga satu penyakit yang harus kita memandang serius, jika kerapkan sangat sakit kepala mungkin ada masalah yang lebih serius. Jika anda ingin mencari solusi lain, Syarikat MHAM sdn bhd ada mengeluarkan satu produk iaiti Refreshing Aromatherapy yang membantu mengurangkan sakit kepala. Jika semakin teruk, sebaiknya anda rujuk doktor untuk mengetahui masalah yang sebenarnya.
Kredit : myhealthmylife