Jenis ruam bayi dan cara menguruskannya
1. Jerawat bayi (neonatal acne)
Jerawat kecil berwarna putih atau merah tumbuh di pipi, hidung, dan dahi bayi. Jerawat ini mungkin muncul ketika dilahirkan atau dalam lingkungan sebulan dan biasanya akan hilang tanpa perlukan sebarang rawatan. Jerawat ini adalah kesan hormon yang dipindahkan daripada ibu pada akhir kehamilan.
Cara pengurusan: Basuh muka bayi dengan air dan sabun bayi yang lembut. Sapukan pelembap yang lembut. Jangan gunakan ubat jerawat biasa dari kedai atau losyen yang berminyak.
2. Dermatitis seborea (cradle cap)
Kulit bayi yang mengalami keruping (flaky) yang kekuningan dan berminyak, di bahagian kepala, leher, telinga, kening, ketiak, dan kadangkala di kawasan lampin (sebagai ruam lampin). Dermatitis seborea berlaku seawal 2 minggu kelahiran dan surut paling lewat ketika 1 tahun. Ia bukan kerana alergi atau kekotoran. Kadangkala, mungkin boleh menjadi ekzema di bahagian lipatan tubuh.
Cara pengurusan: Basuh rambut bayi dengan air dan syampu bayi yang lembut. Boleh juga gunakan minyak bayi untuk membasahkan keruping sebelum menyikatnya dengan lembut semasa membasuh.
3. Eritema toksikum
Tompokan kecil merah yang selalunya muncul di tubuh, muka, dan anggota badan. Selalunya ia muncul pada 2-5 hari selepas kelahiran dan hilang dalam beberapa minggu. Ruam seperti ini tidak mengganggu bayi.
Cara pengurusan: Tiada rawatan khusus diperlukan. Basuhan lembut dengan sabun bayi mungkin membantu.
4. Ruam panas (miliaria)
Bintil kecil kemerahan yang muncul di mana-mana bahagian badan tetapi biasanya di belakang, kepala dan kawasan leher. Ia berlaku mungkin kerana kelenjar peluh yang terhalang. Persekitaran yang panas dan lembap, atau pemakaian terlalu tebal mungkin akan memburukkan lagi ruam panas.
Cara pengurusan: Pastikan kawasan yang terkena ruam sentiasa kering dan pastikan bayi berada dalam persekitaran yang sejuk. Pakaikan bayi pakaian yang ringan dan longgar.
5. Ruam lampin
Ini adalah ruam merah dengan keradangan di kawasan lampin dan biasanya berlaku kepada bayi bawah setahun atau yang memakai lampin. Ia disebabkan oleh kawasan lampin yang terdedah lama kepada kencing atau najis bayi serta jangkitan bakteria atau yis.
Cara pengurusan: Pastikan kawasan lampin sentiasa kering dan bersih dengan menukar lampin sekerap mungkin. Bersihkan dengan air, lap kering dan sapu lapisan ubat semasa menukar lampin. Rujuklah doktor anda jika ruam ini tidak beransur pulih. Doktor mungkin akan memberikan krim anti fungus atau antibiotik jika terdapat sebarang jangkitan.
6. Hiperplasia sebum neonatal
Ini adalah bintik kecil kekuningan pada hidung, pipi, dan dahi. Ia berlaku akibat pertumbuhan kelenjar sebum berlebihan disebabkan oleh hormon ibu. Biasanya muncul pada minggu pertama.
Cara pengurusan: Tiada rawatan diperlukan. Ia akan pulih dalam beberapa minggu.
Bila perlu bawa bayi berjumpa doktor?
Namun, adakalanya anda perlu membawa bayi untuk berjumpa dengan doktor bagi mengubati ruam yang parah. Berikut merupakan ciri-ciri yang perlu anda perhatikan:
1- Apabila terlihat ruam terlalu parah dari ruam kebiasaan.
2- Ruam semakin bertambah parah dari hari ke hari.
3- Kulit bayi mula menggelupas dan terdapat luka akibat ruam.
4- Bayi merasa kesakitan dan menangis setiap kali buang air kecil atau air besar.
5- Iritasi pada kulit bayi diikuti dengan gejala lainnya, seperti demam.
Jika terdapat salah satu atau lebih dari gejala tersebut, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor bagi tindakan yang selanjutnya. Dapatkan nasihat dari doktor, jangan tangguh kerana hal yang lebih serius dan membimbangkan boleh terjadi. Dalam kes ini, ruam pada bayi yang disebabkan oleh kulit sensitif biasanya memerlukan penjagaan dan rawatan yang khusus agar iritasi pada bayi tidak menjadi semakin parah. Jom klik link disini.
Kredit: