Halba adalah antara rempah ratus yang sering digunakan dalam masakan. Ianya berasal dari Timur Tengah dan digunakan secara meluas oleh masyarakat India. Halba juga sinonim dengan masyarakat Melayu. Antara juadah tradisi kaum Melayu yang mengandungi halba adalah nasi dagang yang berasal dari negeri Terengganu. Di Indonesia, selain menjadi rempah dalam masakan, ianya turut menjadi salah satu ramuan dalam jamu. Halba turut digunakan dalam kandungan sabun dan syampoo disebabkan oleh khasiat halba untuk kesihatan telah diketahui sejak dahulu lagi.
Pohon Halba mempunyai daun berwarna hijau muda dan bunga putih yang kecil. Pohon Halba boleh mencapai ketinggian sehingga 90 sentimeter. Biji Halba berwarna kuning coklat, mempunyai rasa yang pedas dan bersifat aromatik. Biji rempahnya pula mempunyai rasa yang agak pahit mirip dengan rasa gula yang tebakar. Biji Halba ini sering digunakan untuk menghasilkan ubat-ubatan. Disamping saiznya yang kecil, ia kaya dengan pelbagai manfaat untuk kesihatan manusia. Berikut merupakan antara khasiat Halba untuk kesihatan.
Menggalakkan pengeluaran susu
Pakar perubatan Ayurveda tradisional India sering menekankan kebaikan halba kepada ibu-ibu yang menyusu. Terdapat kajian dalam Journal of Alternative and Complementary Medicine, New York, yang berjaya menyimpulkan bahawa dengan pengambilan teh halba untuk diet boleh membantu golongan ibu dalam meningkatkan pengeluaran susu. Ekstrak helba yang diproses menjadi kapsul dapat membantu meningkatkan jumlah susu yang dihasilkan oleh payudara.
Tambahan pula, kandungan magnesium dan vitamin di dalamnya juga membantu meningkatkan kualiti susu sekaligus menjaga kesihatan bayi. Dalam kajian yang dijalankan pada tahun 2014, 25 orang wanita yang baru melahirkan anak meminum tiga cawan teh halba setiap hari selama 2 minggu dan menyaksikan peningkatan dalam jumlah susu pada minggu pertama.
Mengurangkan ketidakselesaan haid
Halba dianggap sebagai bahan yang kuat yang memudahkan proses menstruasi dan melegakan simptom yang berlaku akibat daripada gangguan haid. Ia adalah emmenagog, yang bermakna ia boleh membuka haid yang terhalang dan memberikan kelegaan daripada gangguan haid.
Para penyelidik berpendapat bahawa sebatian yang dipanggil alkaloid dalam rempah ini membantu menghalang reseptor deria yang membolehkan otak merasakan kesakitan. Malah, dalam satu kajian yang dijalankan pada tahun 2014, seramai 51 orang wanita yang mempunyai haid yang menyakitkan telah mengambil kapsul serbuk biji halba tiga kali sehari untuk 3 hari pertama haid mereka selama 2 bulan berturut-turut.
Mereka mengalami tempoh kesakitan yang lebih pendek dan simptom yang lebih rendah.
Mengurangkan simptom menopaus
Halba juga mengandungi kandungan diosgenin dan isoflavon estrogenik, yang sama dengan hormon seks wanita, estrogen. Kehilangan estrogen boleh menyebabkan gejala menopaus oleh itu, dengan memakan halba boleh membantu mengurangkan simptom menopaus seperti perubahan mood, kemurungan, kekejangan, dan rasa lapar yang tidak normal. Ia juga membantu mengawal beberapa hormon lain yang memelihara banyak proses tubuh lain.
Menurunkan tahap kolesterol
Penyelidikan yang diterbitkan dalam The British Journal of Nutrition menunjukkan bahawa penggunaan kebaikan halba mempunyai keberkesanan dalam membantu mengurangkan tahap kolesterol. Ia membantu mengurangkan tahap kolesterol LDL (buruk) dengan ketara, yang boleh menghalang pelbagai keadaan seperti aterosklerosis, serangan jantung, dan strok.
Ia adalah sumber serat yang kaya, yang menghancurkan kolesterol yang berlebihan daripada arteri dan saluran darah badan. Pengurangan kandungan kolesterol dalam aliran darah, dapat mengurangkan risiko pembentukan gumpalan darah. Oleh disebabkan kandungan serat, serbuk ekstrak serat halba juga boleh menyebabkan rasa kenyang.
Menghalang kanser kolon
Kebaikan halba yang lain adalah mempunyai ciri-ciri anti karsinogenik, terutamanya berkaitan dengan kanser payudara dan pencegahan kanser kolon. Steroid diosgenin yang terdapat dalam herba ini telah dikaitkan secara khusus dengan pencegahan kanser kolon.
Tambahan pula, pelbagai polisakarida bukan kanji seperti saponin, hemiselulosa, mucilage, tanin, dan pektin berfungsi merendahkan tahap kolesterol dan menghalang garam hempedu daripada diserap semula oleh kolon.
Ini boleh mengikat toksin dan melindungi membran mukus usus, yang boleh mengurangkan kanser kolorektal dan keadaan lain yang boleh menjejaskan kolon. Dalam beberapa kajian lain, halba telah didapati menunjukkan kesan antikanser dan juga boleh membantu menggalakkan apoptosis atau kematian sel yang telah diprogram.
Mengawal diabetes
Kajian perintis pada tahun 2005 telah menunjukkan bahawa penambahan biji halba dalam diet pesakit diabetes membantu menurunkan tahap glukosa darah. Disebabkan oleh kehadiran serat semula jadi galactomannan, herba ini memperlahankan kadar di mana gula diserap ke dalam aliran darah.
Asid amino 4-hydroxy isoleucine didapati dalam rempah ini, yang mengawal pembebasan insulin. Ini membantu mengelakkan penurunan dan kenaikan gula darah dalam kalangan pesakit kencing manis. Sebanyak 15 – 20 gram halba biasanya disyorkan untuk mengawal gula darah setiap hari.
Disamping manfaat kesihatan yang ada pada halba, anda juga perlu beringat untuk mengambil pengambilan halba secara bersederhana. Ia juga dapat memberikan beberapa kesan sampingan seperti cirit-birit, loya dan sakit kepala jika diambil secara berlebihan. Sentiasa dapatkan nasihat doktor anda . Bagi mendapatkan produk Asmak yang mengandungi kandungan halba boleh klik disini.
Kredit : 1. root of science
2. hello doktor