Skip to main content
search
0

Gastrik merupakan situasi dimana berlaku keradangan pada lapisan dalam perut. Ianya juga dikenali sebagai pedih ulu hati dalam sesetengah kalangan rakyat Malaysia. Keadaan gastrik ini berlaku akibat penurunan tahap perlindungan pada lapisan perut dan lapisan dinding tercedera disebabkan keadaan-keadaan yang tertentu. Ikuti lebih mendalam info tentang gastrik disini.

Di peringkat awal, masalah gastrik ini boleh dikawal namun jika ianya dibiarkan secara berlarutan, ianya boleh mengancam nyawa sehingga boleh menyebabkan berlakunya kanser perut. Kanser perut ialah kanser yang sangat berbahaya sehingga boleh membawa maut dan ianya merupakan kanser ke-4 yang membawa kepada kematian selepas kanser paru-paru, hati dan kolorektal. Artikel ini akan menerangkan tips pengambilan pemakanan yang boleh diamalkan untuk pesakit gastrik untuk mencegah atau mengurangkan gejala penyakit tersebut.

1. Elakkan Makanan Tinggi Kandungan Garam

Makanan yang mengandungi kandungan garam yang tinggi bukan sahaja boleh mendatangkan penyakit gastrik, malah boleh juga membawa kepada penyakit-penyakit lain seperti tekanan darah tinggi, mengundang serangan asma, masalah osteoporosis dan sebagainya. Dalam satu kajian mendapati, penduduk di sesebuah negara yang banyak mengamalkan diet yang mempunyai kandungan garam yang tinggi menunjukkan kadar penyakit gastrik yang tinggi berbanding penduduk yang kurang mengambilnya. 

Lapisan kulit akan menjadi semakin nipis akibat pengambilan kandungan garam yang tinggi dalam badan kita. Lebih memburukkan lagi apabila luka daripada lapisan perut kita yang semakin menipis berlaku. Ini akan mengundang pertumbuhan bakteria yang akan menyebabkan keadaan gastrik menjadi semakin teruk.

2. Kurangkan Makanan Yang Mengandungi Bahan Pengawet yang Tinggi

Penggunaan pengawet dalam industri pemakanan amat popular sekarang. Ini adalah bertujuan untuk memanjangkan tempoh hayat makanan, mengelakkan pertumbuhan bakteria berlaku, dan menambahkan perasa dan pewarna tertentu dalam makanan. Berdasarkan kajian, kandungan pengawet ini terdiri daripada N-nitrosamines, nitrosamides dan nitrosaminidine dimana jika ianya diamalkan secara kerap untuk jangka masa yang lama, boleh menyebabkan berlakunya masalah gastrik yang serius dan seterusnya membawa kepada masalah kanser perut.

3. Amalkan Makan Bawang Putih

Terdapat beberapa cadangan diet bagi mencegah berlakunya penyakit gastrik dan salah satunya ialah dengan mengamalkan pemakanan bawang putih. Bawang putih kaya dengan sebatian aktif dan kumpulan utama di dalamnya ialah allium. Kumpulan allium ini memberi pelbagai manfaat kepada kesihatan badan antaranya ianya bersifat antibakteria, antihipertensif dan antikanser. Lebih 2000 sebatian aktif dan masih terus dijumpai oleh para pengkaji, bahan antioksidan dan sulfur mampu memberi perlindungan pada perut.

4. Makan Buah-buahan dan Sayur-sayuran Segar

Analisis makmal menunjukkan kesan kesihatan yang positif daripada memakan buah-buahan dan sayur-sayuran segar. Kandungan nutrien yang sangat berharga termasuklah karotena, vitamin C, vitamin E, garam galian dan multivitamin adalah amat baik untuk badan kita lebih-lebih lagi untuk perut. Ini boleh mengurangkan lagi risiko penyakit gastrik. Antara cadangan buah-buahan dan sayur-sayuran berdasarkan kajian lepas ialah buah citrus, cendawan, sayuran hijau, tembikai, tomato dan sebagainya.

5. Amalkan Pengambilan Produk Tenusu

Produk tenusu mengandungi kandungan protein yang tinggi yang membantu untuk membaiki kerosakan sel dan tisu pada tubuh dengan cepat. Antara susu dan produk tenusu yang boleh diamalkan ialah susu kambing, susu lembu, susu biri-biri, yogurt, keju, dadih dan sebagainya. Selain itu, enzim susu boleh membantu fungsi tubuh berjalan dengan lancar. Namun terdapat sebahagian mereka yang tidak boleh mengambil produk tenusu disebabkan oleh masalah kesihatan seperti lactose intolerance. Jika anda mempunyai masalah tersebut, anda boleh menggantikannya dengan susu badam, susu soya dan sebagainya.

Amalan pemakanan yang baik dan berkhasiat boleh membantu sistem tubuh menjadi lebih sihat secara keseluruhan. Dengan mengamalkan langkah pencegahan awal, masalah gastrik dan lebih buruk lagi kanser perut dapat dielakkan. Perkara yang paling penting sekali ialah kita perlu kerap bertemu dengan doktor dan jalani pemeriksaan kesihatan supaya kita dapat memastikan sistem tubuh kita sentiasa berada dalam keadaan yang baik.

Kredit:
1. Bidadari
2. Sirap Limau
3. Hello Doktor

 

Ebook PERCUMA - Petua Hilangkan Batuk Bayi Berkahak
50 Perkara Kebanyakan Ibu Tak Tahu
Semoga Bermanfaat

Leave a Reply

Close Menu