Pembengkakan pada pipi atau rahang sehingga merasa perit untuk menelan air liur mungkin disebabkan oleh penyakit beguk. Mumps atau beguk merupakan penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus Paramyxovirus dan ia boleh menyebabkan pembengkakan dan rasa sakit pada kelenjar air liur (parotid) yang terletak berhampiran dengan telinga. Melalui cecair daripada mulut, hidung dan tekak, virus ini mudah merebak dan berjangkit. Ia boleh berjangkit selepas 3 atau 4 hari selepas pembengkakan bermula.
Apa yang boleh meningkatkan lagi risiko berlakunya penyakit beguk ini ialah dengan mengamalkan berkongsi peralatan makanan seperti sudu dan cawan serta barangan peribadi. Jadi, perkara ini amat perlu untuk dielakkan. Selain itu, kekurangan penjagaan kebersihan yang baik seperti tidak mencuci tangan dengan betul juga dapat meningkatkan penyebaran virus Paramyxovirus ini. Virus ini juga boleh menjangkiti organ lain dalam badan manusia seperti hati, pankreas, testis, ovari, sendi, buah pinggang serta lapisan meninges otak, selain menyerang kelenjar parotid. Setiap organ yang dijangkiti akan menghasilkan simptom yang berbeza.
Tanda/ Gejala Beguk
Masa yang diambil untuk mengesan gejala dan tanda bahawa seseorang itu mengalami penyakit beguk ialah selama 12-25 hari. Namun, terdapat juga sesetengah pesakit yang tidak menunjukkan simptom pada peringkat awal jangkitan. Antara gejala yang mungkin dialami adalah seperti bengkak dan rasa sakit pada satu atau kedua-dua belah pipi, demam. sakit kepala, sakit otot, keletihan atau hilang selera makan.
Dalam keadaan tertentu, sesetengah pesakit lelaki yang dijangkiti mungkin akan mengalami bengkak dan sakit pada bahagian kelamin. Pesakit yang mengalami gejala penyakit ini dinasihati untuk berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut agar rawatan yang sesuai dapat diberikan.
Gejala-gejala ini biasanya akan hilang dalam masa 10–12 hari. Namun, pesakit masih boleh terdedah kepada risiko untuk mendapat komplikasi jika jangkitan virus tersebut merebak ke bahagian yang lain. Antara komplikasi beguk yang mungkin berlaku adalah seperti meningitis (keradangan pada lapisan selaput yang membaluti otak dan saraf tunjang), orkitis (keradangan pada testis), pankreatitis (keradangan pada pankreas) dan hilang pendengaran.
Cara Rawatan
Tiada ubat yang khusus untuk beguk tetapi simptom-simptom boleh dilegakan dengan mengambil paracetamol untuk mengurangkan bagi mengurangkan suhu badan atau sebagai ubat tahan sakit sekiranya pesakit mempunyai gejala terbabit. Banyakkan minum air masak tetapi elakkan jus-jus yang berasid kerana ianya boleh meningkatkan pengeluaran air liur. Petua meletakkan ais pada kelenjar parotid atau testis untuk melegakan kesakitan juga boleh dilakukan.
Orang yang dijangkiti hendaklah tinggal di rumah sehingga ia tidak boleh lagi berjangkit (iaitu sehingga sembilan hari selepas pembengkakan kelenjar saliva) atau sehingga bengkak tersebut hilang. Makanan yang lembut boleh diberikan kepada pesakit untuk mengelakkan kesukaran mengunyah dan yang paling utama, pesakit perlu mendapatkan rehat yang secukupnya.
Pencegahan
Vaksinasi merupakan kaedah yang berkesan untuk mencegah beguk. Vaksin MMR iaitu Measles (campak), Mumps (beguk) dan Rubela adalah vaksin kombinasi yang diberi dalam satu suntikan. Ibu bapa tidak perlu bimbang dengan vaksinasi kerana ia biasanya tidak memberi kesan sampingan yang serius. Kebanyakan kanak-kanak yang menerima suntikan vaksin ini tidak mengalami sebarang masalah. Sebilangan kecil sahaja mungkin mengalami demam atau sakit pada tempat suntikan.
Kesimpulannya, penyakit beguk tidak boleh dipandang remeh meskipun jangkitan ini boleh sembuh selepas satu tempoh masa tertentu. Pesakit dinasihati untuk mendapatkan nasihat daripada doktor agar rawatan yang sesuai dapat diberikan. Vaksinasi merupakan salah satu langkah pencegahan daripada penyakit berjangkit ini. Pengambilan vaksin merupakan tanggungjawab semua individu, khususnya kepada golongan ibu bapa dan penjaga. Mencegah lebih baik daripada mengubati.
Ingin cuba ikhtiar Minyak Herba Asmak untuk masalah beguk? Klik sini.
Kredit:
1. Know Your Medicine
2. Doctor On Call
3. My Health