Jenis-jenis bertangas
Terdapat pelbagai jenis dan cara-cara bertangas. Namun secara umumnya, bertangas dibahagikan kepada dua iaitu bertangas basah dan bertangas kering.
- Bertangas Basah
Bertangas basah menggunakan ramuan rempah ratus dan herba yang direbus. Wap yang dihasilkan air rebusan inilah yang digunakan untuk bertangas. Bertangas dibuat dengan menyelubung seluruh badan dengan kain dari paras leher ke paras lantai agar wap tangas menyeluruh kena pada badan.
Amalan ini dapat menghasilkan daya kelembapan kulit yang mantap di bahagian alat sulit. Rawatan juga dapat mengelakkan kelesuan kulit dan bau badan. Ketika rawatan bertangas basah, boleh amalkan senaman kemutan otot rahim atau Kegel exercise untuk kekuatan otot faraj dan rahim.
Proses rawatan bertangas secara tradisional adalah dengan memasukkan air panas yang dicampurkan sedikit dengan air sejuk (untuk mengelakkan kecederaan daripada wap yang terlampau panas) ke dalam besen yang besar serta dicampurkan ramuan-ramuan herba yang telah dibersihkan seperti buah manjakani, asam keping, daun sirih, daun kunyit, halia merah, daun mengkudu, buah pala serta sedikit garam dan bermacam-macam lagi sumber asli yang kebanyakannya boleh didapati di dapur masing-masing.
Setelah dibiarkan beberapa minit, wanita yang akan menjalani rawatan bertangas akan masuk dan duduk di dalam besen tersebut supaya air campuran herba mengenai bahagian sulit mereka. Di samping itu, mereka boleh menggosok bahagian sulit dengan air campuran herba tersebut untuk kesan yang lebih baik.
Ramuan tangas basah:
- halia
- biji atau serbuk manjakani
- daun sirih
- garam kasar
- lengkuas
- jintan hitam
- serai wangi
- halba
Caranya :
Rebus semua bahan bersama air sehingga mendidih. Rebus di dalam periuk tanah dan kemudiannya bertangas selama 15-30 minit. Air yang sejuk boleh dijadikan bahan pencuci bahagian sulit.
- Bertangas kering
Nama lain bagi bertangas kering ialah bertangas herba. Berbanding bertangas basah yang merebus herba, bertangas kering menggunakan batu sungai yang dipanaskan. Ramuan herba akan ditumbuk halus sebelum diletakkan di atas batu sungai yang dipanaskan tadi.
Ini akan menghasilkan wap yang akan digunakan dalam bertangas. Wanita akan duduk di atas kerusi tangas supaya wap itu mengenai bahagian bawah badannya sehingga wap berkurang atau hilang.
Ramuan tangas kering adalah tidak jauh berbeza dengan ramuan bertangas basah, cuma ramuannya tidak direbus.
Ramuan tangas kering (tumbuk halus bahan-bahan ini):
- serbuk manjakani
- daun inai
- kunyit hidup
- jintan hitam
- halba
- garam kasar
- limau nipis
- asam gelugur
Caranya :
Panaskan batu sungai atau batu tanah liat di atas dapur. Alaskan daun sireh dalam periuk/mangkuk tanah. Masukkan batu yang telah pun betul-betul panas. Letakkan ramuan yang telah ditumbuk halus di atas batu. Sedia untuk digunakan.
Durasi rawatan
Bertangas akan mengakibatkan badan mengeluarkan peluh dengan sangat banyak. Jadi, durasi tidak boleh terlalu lama kerana boleh mengakibatkan badan mengalami dehidrasi. Seeloknya, tempoh bertangas tidak melebihi 30 minit.
Walaubagaimanapun, sebelum memilih untuk bertangas, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu terutamanya mereka yang mempunyai penyakit seperti darah tinggi dan masalah jantung. Ini adalah untuk mengelakkan komplikasi. Selalunya, mereka yang mempunyai masalah kesihatan tidak dinasihatkan bertangas, atau mempunyai durasi yang lebih singkat.
Disebabkan bertangas akan menyebabkan badan mengeluarkan peluh yang sangat banyak, mereka yang sudah bertangas disarankan meminum air yang secukupnya bagi menggantikan air yang telah keluar melalui peluh. Selain itu, tidak digalakan terus mandi selepas bertangas, seeloknya tunggu sekurang-kurangnya 15 minit sebelum mandi.
Semoga perkongsian ini dapat membantu anda.
Sumber: