Bayi yang mengalami masalah kembung perut, sembelit dan colic biasanya akan menangis berjam-jam kerana rasa sangat tidak selesa. Sebagai ibu bapa, anda mungkin rasa bimbang dan tidak berdaya untuk melakukan apa-apa. Jangan risau, sebenarnya masalah bayi menangis waktu malam berpunca daripada kembung perut, sembelit dan colic semuanya masalah biasa yang dihadap seorang bayi.
Diharap ibu banyakkan bersabar ya. Kami akan huraikan mengapa masalah kembung perut ini terjadi dan bagaimana anda boleh membantu si manja.
Mengapa masalah bayi kembung perut atau angin terjadi?
Apabila bayi anda menyusu, tersedu atau bernafas, kadang-kadang udara yang ditarik boleh masuk ke dalam perut dan system pencernaan. Sejumlah besar udara ini keluar apabila bayi buang angin, tapi gas juga boleh terperangkap dalam perut dan menyebabkan ketidakselesaan.
Bayi menangis waktu malam sebab perut bayi mengalami masalah kembung perut dan akan rasa tegang serta keras. Walaupun ibu bapa boleh cuba untuk menyendawakan bayi mereka sehingga dia mengeluarkan angin, namun terdapat juga angin degil yang mungkin masih terperangkap dalam perut.
Bagaimana pula dengan bayi sembelit?
Perut kembung juga mungkin tanda sembelit. Tap bayi yang diberi susu ibu jarang menghadapi masalah ini. Cuma kadang-kadang bayi baru lahir akan mengambil masa yang lama untuk membuang air besar. Seorang bayi yang lebih berusia, misalnya bayi yang sudah mula makan makanan pejal akan menghadapi risiko sembelit yang lebih besar.
Masalah sembelit yang teruk boleh menyebabkan bayi itu rasa tidak selesa. Bayi baru lahir tidak boleh mengambil ubat pelembut najis atau melakukan enema tanpa pengawasan doktor.
Anak menganis 3 jam tanpa henti, ini colic ke?
Menurut Pusat Perubatan Universiti Maryland, satu-satunya tanda bayi itu sakit colic adalah apabila bayi menangis selama tempoh jam sekurang-kurangnya 3 kali seminggu. Bayi akan menunjukkan tanda-tanda jelas yang dia dalam keadaan yang tidak selesa. Contohnya tubuh badan yang sentiasa tegang dan dia akan mengetatkan kedua-dua tangan seperti tengah menahan sakit.
Masalah perut kembung dan sembelit yang teruk boleh menyumbang kepada sakit colic. Apabila byi anda menangis, dia akan menelan udara dengan lebih banyak dan menyebabkan keadaannya menjadi lebih teruk.
Jika anda ibu menyusu, jaga pemakanan anda dan elak daripada makan makanan pedas serta makanan yang boleh menyebabkan badan berangin, supaya tidak menjejaskan susu ibu dan mencetuskan colic.
Cara atasi masalah kembung perut, sembelit dan colic TANPA ubat
Cara mudah tanpa makan ubat ialah dengan melakukan senaman basikal. Ini Langkah-langkahnya.
- Baringkan bayi dan angkat kakinya ke perut untuk memaksa udara keluar melalui dubur.
- Gerakkan kaki bayi seperti dia sedang mengayuh basikal beberapa kali kemudian angkat kakinya ke perut semula.
- Ulang beberapa kali dan tunggu bunyi kentut ataupun letupan najis.
Ini adalah kaedah tanpa ubat yang selalu saya gunakan untuk melegakan masalah kembung perut bayi saya. Tapi sebelum anda mencuba sebarang petua, rujuk kepada doktor dulu untuk pengesahan.
Jika keadaan bayi anda bertambah semakin serius sehingga menunjukkan tanda-tanda seperti demam, ruam atau darah dalam najis, ibu bapa perlu membawa anak untuk berjumpa doktor dengan segera.
Sumber:
TheAsianParent