Penyakit bawaan air tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Malaysia lebih-lebih lagi semasa dan selepas berlakunya banjir di dalam sesebuah kawasan. Selain daripada berlakunya kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa, bencana ini juga boleh menyebabkan berlakunya penyakit yang berjangkit.
Terdapat beberapa penyakit utama yang dikategorikan dalam kumpulan penyakit bawaan air dan makanan iaitu demam kepialu, penyakit taun, disenteri (cirit-birit berdarah), hepatitis A dan keracunan makanan. Penyakit-penyakit ini menjangkiti seseorang melalui pengambilan makanan atau minuman yang tercemar dengan kuman penyakit tersebut. Kuman penyakit-penyakit ini datang dari najis manusia dan najis binatang yang telah dijangkiti serta persekitaran yang kotor.
- Demam Kepialu (Typhoid)
Demam tifoid atau kepialu ialah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh kuman kepialu (Salmonella typhi) manakala demam paratifoid pula disebabkan oleh kuman Salmonella paratyphi. Gejala demam tifoid tidak begitu spesifik. Pada peringkat awal, gejalanya ialah demam berpanjangan melebihi seminggu, sakit kepala, keletihan, kurang selera, bengkak hati dan limpa, ruam merah, jangkitan salur pernafasan dan gastrousus.
Pesakit tifoid boleh mengalami komplikasi yang serius seperti jangkitan melibatkan organ-organ utama seperti peritonitis, meningitis, encephalitis, hepatitis, myocarditis, pneumonia, thrombocytopenia, disseminated intravascular coagulation dan haemolytic ureamic syndrome.
- Taun (Cholera)
Penyakit taun disebabkan oleh jangkitan bakteria vibrio cholera yang mempunyai gejala awal cirit-birit tanpa sakit, loya dan muntah. Jika tidak dirawat segera boleh menyebabkan dehidrasi, asidosis, renjatan, kurang gula dalam darah dan penyakit buah pinggang akut. Penyakit taun yang boelh membawa wabak ini biasanya mempunyai kaitan dengan sanitasi persekitaran, tahap kebersihan premis makanan, kebersihan diri dan bekalan air minum yang kurang memuaskan.
- Disenteri (Dysentry)
Disenteri atau cirit birit berdarah adalah diagnosis klinikal merujuk kepada cirit birit dengan najis berair (loose or watery stool) mengandungi darah yang boleh dilihat pada mata kasar. Ianya boleh disebabkan oleh bakteria atau protozoa antaranya seperti Shigella sp. (terutamanya Shigella dysentriae jenis 1 [Sd1]), Salmonella sp., Enteroinvasive E. Coli dan Entamoeba histolytica. Komplikasi boleh berlaku jika kehilangan banyak air yang memberi kesan kepada jantung dan buah pinggang. Antara komplikasi yang perlu diawasi ialah demam yang tinggi (melebihi 39oC), kejang atau paralisis serta haemolytic uraemic syndrome: Sindrom dengan tiga kesan utama – Haemolytic anaemia, thrombocytopaenia dan kegagalan buah pinggang.
- Hepatitis A
Hepatitis A disebabkan oleh virus Hepatitis A (HAV). Cara jangkitan utamanya ialah melalui makanan dan air. Ianya juga boleh berlaku melalui pemindahan darah daripada penderma yang dijangkiti HAV. Manifestasi penyakit hepatitis A bergantung kepada peringkat umur dan kehadiran penyakit kronik lain. Pada amnya, keterukan jangkitan meningkat dengan umur dan pesakit biasanya pulih sepenuhnya tanpa sebarang komplikasi.
- Keracunan Makanan (Food Poisoning)
Penyakit-penyakit bawaan makanan berpunca daripada pengambilan makanan atau minuman yang tercemar. Ia termasuk keracunan makanan dan jangkitan bawaan makanan (foodborne intoxication). Ciri-ciri klinikal keracunan makanan adalah berbeza bergantung kepada jenis agen mikrobiologi atau toksin. Antara punca utamanya ialah:
- Jangkitan bakteria, virus dan parasit seperti Escherrichia coli, Norwalk virus dan Toxoplasmosis
- Toksin yang dibawa oleh pembiakan bakteria dalam makanan seperti Clostridium perfringens, Clostridium botulinum, Staphylococcus aureus dan Bacillus cereus
- Toksin yang dihasilkan oleh tumbuhan ataupun haiwan seperti alga dan ikan yang tertentu.
Terdapat persamaan umum antara penyakit-penyakit bawaan air dan makanan ini. Antara tanda-tanda dan gejala umumnya ialah: Sakit kepala yang kuat, Loya dan muntah, cirit-birit, demam panas dan berterusan selama 3 hingga 4 minggu, ruam di badan, tiada selera makan, kulit kering, mata layu dan cekung, letih lesu dan tidak tidak bermaya sera tidak sedarkan diri dan meracau.
Mencegah itu lebih baik daripada merawat. Langkah-langkah pencegahan daripada mendapat penyakit bawaan air dan makanan termasuk memastikan kawasan persekitaran sentiasa dalam keadaan yang bersih. Selain itu, untuk bagi mengelakkan keracunan makanan, pembersihan sayur-sayuran, buah-buahan dan sebagainya perlu dilakukan terlebih dahulu. Anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor segera untuk pemeriksaan lanjut sekiranya anda mempunyai tanda-tanda penyakit bawaan air seperti diatas. Jangan dibiarkan penyakit anda berlarutan kerana ianya boleh bertambah teruk, menjangkiti orang lain dan membawa maut.
Kredit:
Ensen