Hipertensi atau Tekanan Darah Tinggi adalah penyakit senyap yang boleh membawa kepada komplikasi dan juga kematian jika tidak dirawat. Di Malaysia, Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi II menunjukkan prevalens sebanyak 24% untuk penyakit ini.
Dalam menangani masalah hipertensi atau darah tinggi ini, perubahan gaya hidup seperti diet yang betul memainkan peranan yang penting untuk merawat tekanan darah tinggi. Namun tidak dinafikan, ianya memakan masa yang lama untuk mengurangkan tekanan darah tinggi kerana bukan mudah untuk kita terus mengubah gaya hidup kita. Antara perkara-perkara yang perlu diambil perhatian ialah mengekalkan berat badan yang normal, berhenti merokok dan belajar untuk mengawal stress. Ini juga ialah antara gaya hidup yang sihat yang boleh kita praktikkan. Tidak mustahil anda tidak perlu lagi mengambil ubat-ubatan pada masa akan datang.
Kurangkan tekanan darah tinggi dengan diet DASH
Apa itu diet DASH? Perkataan pendek untuk Pendekatan Diet untuk Menghentikan Hipertensi – ini adalah pelan pemakanan yang sihat dan baik untuk hati yang bertujuan untuk merawat atau mencegah tekanan darah tinggi dengan menurunkan pengambilan natrium dan meningkatkan penggunaan makanan kaya nutrien. Jika anda mengikuti diet ini ia boleh menurunkan tekanan darah anda dalam masa dua minggu iaitu dari masa ke semasa, tekanan darah sistolik anda boleh turun sebanyak 14 point. (Tekanan sistolik, nombor pertama dalam bacaan tekanan darah, mengukur tekanan apabila jantung anda berkontraksi.) Pendekatan ini juga adalah untuk makanan sejajar dengan cadangan diet yang membantu mencegah osteoporosis, kanser, penyakit jantung, strok, dan diabetes jenis 2.
1.Makan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh
Buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh boleh menurunkan tekanan darah anda sehingga 11 mmHg jika anda mengalami hipertensi. Benar, bukan mudah untuk mengubah gaya pemakanan, namun usaha ini akan membuahkan hasil jika anda kekal disiplin dan menjaga pemakanan.
Bukan itu sahaja, lebihkan makanan yang mengandungi kalium kerana ia dapat membantu dalam mengurangkan kesan garam pada tekanan darah. Cuba dapatkan sumber kalium daripada makanan seperti sayur-sayuran hijau dan buah-buahan berbanding daripada suplemen.
2. Jangan makan garam berlebihan
Semua orang tahu, garam dan tekanan darah tinggi tidak dapat dipisahkan. Tetapi, tahukah anda, pengurangan garam dalam makanan walaupun sedikit boleh menurunkan tekanan darah anda? Orang dewasa digalakkan agar mengambil garam kurang daripada 1500 mg sehari. Untuk mencapai target ini, pastikan anda kurangkan pengambilan makanan segera dan makanan yang diproses. Kalau anda suka memasak, inilah masanya untuk kurangkan garam dalam masakan untuk kesihatan keluarga yang lebih terjamin.
3. Kurangkan minum alkohol untuk kawal tekanan darah tinggi.
Alkohol mempunyai kesan yang buruk terhadap kesihatan diri. Individu yang kerap minum arak didapati mempunyai tekanan darah yang lebih tinggi berbanding orang lain. Malah, ia juga boleh mengurangkan kesan ubat-ubatan tekanan darah tinggi yang anda ambil!
4. Kurangkan minum kopi
Walaupun kesan kafein terhadap tekanan darah masih lagi hangat diperdebatkan, ada kajian yang menunjukkan kafein dapat meningkatkan tekanan darah sebanyak 10 mmg Hg dalam kalangan mereka yang jarang menikmatinya.
Tetapi, kesan ini tidak dapat dilihat pada individu yang sering minum kopi. Walaupun kesan jangka panjang minum kopi tidak dapat dipastikan, namun elakkan mengambil sebarang minuman secara keterlaluan. Sentiasalah bersederhana dalam segalanya.
Berikan sokongan kepada pesakit tekanan darah tinggi
Walaupun makanan merupakan faktor yang penting dalam penjagaan tekanan darah, namun sokongan ahli keluarga juga dapat membantu pesakit untuk lebih bersemangat dalam menjaga kesihatan masing-masing. Jika anda mempunyai ahli keluarga yang menghidap tekanan darah tinggi, jangan lupa beri mereka sokongan untuk melakukan perubahan dari segi gaya hidup.
Selain itu, mereka yang mempunyai penyakit hipertensi juga boleh memantau tekanan darah sendiri di rumah. Dengan cara ini, pesakit dapat kawal tekanan diri dengan lebih baik. Akhir sekali, jangan lupa berjumpa dengan doktor jika anda mempunyai sebarang persoalan.
Jika anda berjaya melakukan perubahan dari segi gaya hidup dan makan dengan lebih sihat, tidak mustahil anda boleh bebas ubat pada masa yang akan datang.
Ikuti pula artikel berkenaan Cara Mengurangkan Gula Dalam Darah disini.
Kredit:
1. Hello Doktor
2. My Health